15 Disember 2009 - Genap 59 tahun lalu di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, ribuan manusia membanjiri balai ketibaan lapangan terbang bagi menyambut ketibaan gadis berusia 13 tahun yang mereka kenali sebagai Bertha Hertogh, yang kita kenali dengan nama Nadra@Natrah Ma'arof. Natrah adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Tragedi Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950.
Mungkin kebanyakan generasi muda masa kini dan juga generasi seusia saya kurang mengetahui latarbelakang, keistimewaan serta pengaruh Natrah yang mewarnai sejarah tanahair dengan berakhir dengan titik titik merah rusuhan dan menuntut olahan semula undang-undang syariah
vis a vis undang-undang mahkhamah awam. Pengaruh gadis 13 tahun ini bukan hanya terhad di Nusantara, malah sentimennya melangkaui hingga ke benua Asia Selatan dan juga Timur Tengah. Malahan prosiding mahkhamah yang berlansung di Tanah Melayu (Singapura) pada ketika itu mendapat liputan luas seluruh dunia sehingga ke Russia, dengan kata lain, kes Natrah meletakkan Tanah Melayu ke peta dunia.
Sebagai anak Malaysia yang asal keturunan turut melibatkan negara-negara jiran Indonesia dan Singapura, kisah Natrah begitu terkesan di hati sejak saya kecil lagi. Arwah nenek yang berasal berkahwin dan mendapat anak pertama (Ibu saya) di Indonesia sebelum berhijrah menaiki kapal selam Tentera Bersekutu (Dutch/British Indies) ke Singapura di zaman Perang Dunia Kedua, pernah beberapa kali menceritakan kisah Natrah kepada saya. Tentunya kisah yang disampaikan melibatkan suami beliau (arwah Datuk) serta kaum2 keluarga yang turut terlibat sama malahan di tahan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengelakkan kejadian yang tidak diingini terjadi kepada mereka di dalam rusuhan tragedi Natrah. Penglibatan tokoh-tokoh Malaya terkenal seperti Karim Ghani, Dr Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Darus Sheriff, Mohammed Murtazza, Syed Ali al-Attas, MA Majid, Prof Dr Ahmad Ibrahim dan Tun Sardon Jubir, yang saya kagumi dan turuti sumbangan mereka dalam kes Natrah dan juga penjuangan kemerdekaan kemudiannya, turut melayakkan lagi kisah Natrah diangkat menjadi teladan dan sempadan buat generasi muda dan yang akan datang.
Siapa Natrah??? Mungkin ramai dah kian mengenali beliau sejak beliau meninggal dunia pada 8 Julai lalu, mungkin juga mengenali beliau melalui garapan teater Natrah yang di persembahkan di Istana Budaya Kuala Lumpur. Nama-nama GAH seperti Maya Karin, Sofea Jane, Ummi Aida, Samantha Schubert...sudah cukup menarik minat ramai menyaksikan Natrah di tangan Erma Fatimah. Apa yang lebih penting....mengapa Natrah mampu menarik minat nama2 gah tersebut untuk menjayakan teater berkenaan. Saya sendiri tidak berpeluang melihat teater berkenaan, namun jauh di sudut hati bagai yakin kisah yang dipaparkan dilayar teater lebih condong kepada kisah cinta Natrah dan Mansor, walhal kisah Natrah perlu dilihat sejujur mungkin bagi memahami tragedi sebenar di Malaya di penghujung tahun 1950, hingga mendapat perhatian dunia.
Mari kita layari kronologi ringkas kisah hidup Natrah yang di susun semula bersumberkan bacaan, pergaulan dan juga Wikipedia :-
■ 24 Mac 1937 - Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh, dan seterusnya di batiskan sebagai kristian di Roman Catholic Church of St. Ignatius di Tjimahi pada 10 April 1937 oleh paderi gereja terbabit. Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh berbangsa Belanda dan ibunya Adeline Hunter (seorang Eurasion berbangsa Scotland/Melayu(Jawa).
■ 29 Disember 1942 - Adeline melahirkan anak ke 6 (lelaki). Akibat tuntutan kemiskinan, Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louise menyerahkan Bertha kepada seorang kawan rapat mereka iaitu, Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh yang pada ketika itu ditawan oleh tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah adalah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukanlah pembantu rumah kepada keluarga Hertogh, malahan ada pandangan yang menyatakan, Aminah adalah seorang usahawan berjaya, dan dipilih oleh Adeline untuk memelihara Bertha demi menjamin masa depan Bertha. Sebaik sahaja Bertha Hertogh diserahkan kepada Aminah beliau diberikan nama Natrah dan hidup dalam suasana dan ajaran Islam.
Perkara ini menurut penyataan mahkhamah Aminah, memang diketahui oleh Adeline yang menyatakan beliau memberi sepenuhnya hak penjagaan Bertha kepada Aminah serta menyambut baik hasrat Aminah membesarkan Bertha sebagai seorang yang beragama Islam, memandangkan Adeline sendiri dibesarkan secara Islam di Jawa.
Bagaimanapun dalam penyataan balas mahkhamah, Adeline menentang pernyataan Aminah, dan menyatakan beliau hanya menyerahkan Bertha kepada Aminah untuk tempoh 3,4 hari sahaja memandangkan keadaan beliau yang baru sahaja melahirkan anak lelaki, dan tidak pernah bersetuju Bertha dibesarkan sebagai orang Islam.
■ 15 November 1945 - Kebangkitan nasioanalis Indonesia membibitkan kegusaran Aminah akan keselamatan anak angkatnya, Aminah membawa Natrah pulang ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
■ Penghujung 1945 - Bapa Natrah, Sarjan Petrus Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Beliau mendakwa telah pulang ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Bagaimanapun, Adeline dan Hertogh akhirnya ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
■ 19 Ogos 1949 - Polis Semarang memberitahu Petrus Hertogh, Natrah berada di Kemaman.
■ September 1949 - Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
Pada awal 1950, Aminah diminta memulangkan Natrah kpd kedua ibubapanya melalui Penasihat British dan ditawarkan wang berjumlah $500 sebagai bayaran gantirugi selama menjaga Natrah selama 7 tahun (sejak Dis. 1942)
■ 12 April 1950 - Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. Sekiranya kes Natrah tidak di bawa ke Singapura, keputusan mahkhamah tentunya berbeza daripada apa yang dimuktamadkan.

■ 22 Mei 1950 - Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
■ 24 April 1950 - Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
■ 28 April 1950 - Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
■ 19 Mei 1950 - peguambela Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
■ 28 Julai 1950 - Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill.
■ 1 Ogos 1950 - kerana takut peristiwa berulang, Aminah sedar yang beliau, tidak mempunyai sebarang dokumen rasmi untuk memelihara Natrah, mengambil keputusan untuk mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun manakala Mansor Adabi 22 tahun. Kedua-dua dikatakan jatuh cinta pandang pertama sejak dipertemu dan disatukan.
.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin bagaimanapun ianya bertentangan dengan undang2 sivil. Ada pendapat yang mengkritik pernikahan inilah sebenarnya punca kepada Aminah kehilangan Natrah, kerana pernikahan tersebut mengundang campurtangan mahkhamah sivil yang menganggap pernikahan gadis bawah umur mengikut undang2 sivil adalah tidak sah dan perlu mendapat persetujuan "penjaga". Istilah "penjaga" inilah akhirnya menyerat semula kes Natrah ke mahkhamah, memandangkan persetujuan penjaga yg sah perlu diperoleh sebelum pernikahan tersebut dianggap sah. Pd masa itu, Aminah bukanlah penjaga yang sah dan pada masa yang sama bapa Natrah menuntut hak penjagaan anaknya itu.
Selain itu, ada pengamal undang2 berkongsi pandangan yang tempat pernikahan Natrah-Mansor yang berlangsung di Singapura yang di bawah kawalan Pesuruhjaya Tinggi British merupakan satu percaturan yang salah. Sekiranya pernikahan tersebut tidak berlangsung di Negeri-negeri Selat sebaliknya berlangsung di seberang tambak (Johor) atau di Kemaman (kampung Aminah), tentunya pihak British akan menghadapi kesukaran mencabar kedudukan institusi pernikahan antara kedua mereka.
■ 2 Disember 1950 - Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya. Lebih-lebih lagi bila bapa Natrah mengangkat sumpah menyatakan beliau tidak pernah bersetuju Natrah memeluk agama Islam dan Natrah telah dibaptiskan sebagai kristian slps kelahirannya. Tambah menyedihkan Aminah gagal membawa surat yang ditulis oleh Adeline Hunter yang didakwa menyerahkan hak penjagaan sepenuhnya Natrah kepada Aminah.
■ 12 Disember 1950 - Hakim bertugas - Justice Brown memuktamadkan Natrah dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya. Dalam keputusannya beliau menyebut "It is natural that she should now wish to remain in Malaya among people whom she knows. But who can say that she will have the same views some years hence after her outlooks has been enlarged, and her contacts extended, in the life of the family to which she belongs?"

59 tahun berlalu, saya terfikir tentu lahir segumpal kekesalan di hati Justice Brown melihat rentetan hidup Natrah, mungkin Justice Brown turut terfikir dimanakah letaknya JUSTICE bilamana melihat kesan daripada keputusan 11 Disember 1950 yang dimuktamadkan beliau sendiri yang jelas tersasar dr objektif melihat kebahagiaan Natrah di Belanda.
■ 12 Disember 1950 - Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa keputusan mahkhamah. Dalam kekalutan pergolakan sehingga menggadaikan 18 nyawa dan ratusan kecederaan, pihak berkuasa British membawa Natrah keluar secara sembunyi ke St. John Island (pulau kecil berhampiran Singapura). Ramai berpandangan, rusuhan yang berlaku sebenarnya bukanlah berpunca daripada keputusan mahkhamah memandangkan peguambela2 Aminah menyakinkan maysrakat Islam setempat untuk merayu semula kes berkenaan, tetapi api kemarahan masyarakat Islam di Kota Singa sebenarnya berpunca daripada sekeping gambar yang diulang cetak di akhbar tempatan, iaitu gambar Natrah melutut di hadapan patung Virgin Mary.


■ 13 Disember 1950 - Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan St. John Islands, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
■ 15 Disember 1950 - Natrah sampai di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk ‘Welcome Back Bertha’. Mereka dari ‘Bertha Hertogh Comittee’ yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang ‘Di mana masjid?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Kecintaannya pada Islam dan juga Malaya bagai tidak mudah padam, beliau dikatakan terus bersolat 5 waktu sehari semalam dan tidak mahu memakan makanan ruji Belanda selain hanya ingin memakan nasi sepertimana di Tanah Melayu. Ibu beliau Adeline yang sememangnya dibesarkan di tanah Jawa terpaksa memasak nasi dan masakan Melayu/Indonesia setiap hari bagi menawan semula hati dan memujuk Natrah. Malahan Natrah yang tidak tau berbahasa Belanda tetap bercakap dalam bahasa Melayu sepanjang beberapa tahun di Belanda, komunikasi Natrah dengan keluarga dan masyarakat setempat cukup terbatas, melainkan dengan ibunya sahaja.
Pada masa yang sama, ibu bapa Natrah mula mencari guru bahasa Belanda untuk datang ke rumah mengajar beliau bahasa. Guru yang dikenalpasti merupakan seorang paderi wanita, selain mengajar bahasa Belanda pada masa yang sama paderi tersebut menyelitkan juga fahaman kristian yang menjadi pegangan keluarga Natrah. Sedikit demi sedikit, akhirnya Natrah sudah mula faham dan bercakap bahasa Belanda dan di ajak berjinak-jinak ke gereja bersama keluarga setiap hari Ahad.
■ Januari 1952 - Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
■ 9 Januari 1951 - Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
■ 10 Januari 1951 - Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani (seorang Indian Muslim Singapura yang dianggap ekstrimis Islam dan didakwa mendalangi tragedi oleh pihak penjajah) yang masih ditahan.
■ 17 September 1951 - Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
■ 25 Januari 1953 - Surat Mansor Adabi kepada Natrah
Difahamkan, walaupun Mansor beberapa kali menulis kepada Natrah, namun surat2 Mansor tidak sampai ke tangan Natrah. Mengikut cerita, surat2 Mansor berkisar perasaan beliau kepada Natrah serta hasrat beliau yang tidak pernah padam untuk membawa isterinya itu pulang ke Tanah Melayu.
■ Mac 1953 - Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Katanya beliau tidak lagi sukakan Mansor dan bencikan Malaya. Natrah menggunakan nama asalnya ‘Bertha Hertogh’. (Kesahihan surat ini tidak dapat dibuktikan memandangkan Natrah tidak mengaku beliau menulis surat ini)
■ 20 Julai 1953 - Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
■ 1954 - Kecewa dengan isi surat Natrah kepadanya, Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah membaca liputan akhbar berhubung perkahwinan suaminya (Mansor) berasa amat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen.
■ 26 Januari 1956 - Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia. Bagaimanapun pada masa tersebut Mansor sudah kecewa dengan Natrah yang dianggap ingkar pada ikatan perkahwinan mereka melalui surat Natrah yang diterima, sedangkan surat tersebut tidak pernah ditulis oleh Natrah. (Dikatakan surat tersebut sebenarnya ditulis oleh samada Kakak atau Ibu kandung Natrah yang sememangnya boleh berbahasa Melayu/Indonesia)
■ 20 April 1956 - Bertha yang turut kecewa dengan Mansor yang dianggap tidak pernah mengutus berita, akhirnya berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
Ada juga menyatakan perkahwinan ini adalah perkahwinan yang dirancang oleh keluarga Bertha yang inginkan beliau melupakan kisah silam di Malaya. Ada juga mengatakan Bertha sengaja mengahwini Wolkenfelt bukan kerana kecewa dengan Mansor tetapi sudah tidak tahan hidupnya diikuti oleh pihak berkuasa Belanda selama 5 tahun berterusan sejak pulang ke Belanda. Baik semasa beliau ke sekolah, ke taman permainan, ke klinik, ke mana jua hingga beliau naik jemu sehinggalah beliau memutuskan untuk berkahwin, barulah pihak berkuasa berkenaan tidak lagi menghampiri beliau.
■ 15 Februari 1957 - Bertha bersalin anak lelaki pertama. Namun Bertha jelas kurang gembira dengan kehidupan di Belanda, dan difahamkan dalam laporan De Telegraaf, Bertha menyatakan ketidakceriaan hidupnya, keinginannya untuk kembali ke Tanah Melayu, dan siri-siri perbalahan antara beliau dan ibu beliau dikatakan berterusan sejak kepulangan beliau ke Belanda. Antara perbalahan yang berlaku termasuklah soal memilih cara hidup, agama, pegangan, pasangan hidup, pemakanan dan sebagainya. Perbalahan turut berpunca daripada Natrah yang selalu membandingkan kasih sayang ibunya (Adeline) berbanding Aminah yg bagi Natrah sesempurna manusia bergelar ibu. Ada juga yang menyatakan atas desakan hidup, Adeline mengambil barang2 kemas kepunyaan Natrah yang dihadiahkan oleh Aminah, dan mengadainya bagi meneruskan kelangsungan hidup, selain memaksa Natrah bekerja berbelas2 jam sehari untuk menampung perbelanjaan keluarga. Tindakan2 tersebut tambah mengeruhkan hubungan antara dua beranak ini.
Pernah juga dilaporkan, atas hasrat untuk cuba memberi sinar bahagia kepada Bertha, Johan (suaminya) mula berutus surat dgn Mansor bagi merealisasikan hasrat Bertha menemui ibu angkatnya - Aminah. Bagaimanapun atas sebab masalah kewangan keluarga Johan, hasrat tersebut tidak tercapai sehinggalah Aminah menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1976.
■ 20 Januari 1959 - Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail ‘Personal – Mansor Adabi’ di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
■ 25 November 1975 - Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stood Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha mempunyai 10 orang anak dan hidup dalam penuh kesusahan. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
Ada pandangan yang mengatakan, selepas melihat dokumentari tersebut, Natrah seperti hilang akal membandingkan nasib diri dan tuah Mansor, dan menyalahkan org tuanya yang memaksa dia pulang ke Belanda dan melalui segala kesusahan hidup yang di hadapinya berbanding kemewahan yang boleh dinikmatinya jika terus bersama Aminah dan suaminya Mansor.
■ 16 Ogos 1976 - Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru – tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
Ada yang menganggap tragedi ini berlaku atas rasa hampa Bertha kepada suaminya yang dianggap gagal membahagiakan hidup mereka sekeluarga, dan sedikit sebanyak dokumentari The Time Just Stood Still turut berperanan meluluhkan hati Bertha yang sebenarnya kecewa sejak dipisahkan dengan org2 yang disayanginya.
■ 1976 - Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an.
■ 26 Disember 1976 - Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah. Ada yang berpendapat jiwa Natrah begitu kacau dgn berita ibu angkatnya sakit dan kemudiannya meninggal dunia tanpa dapat beliau temui sejak dipisahkan secara paksa 26 tahun sebelum itu. Ditambah pula dengan kegagalan perkahwinan Natrah dgn Johan G. Wolkenfelt.
■ Tiga tahun kemudiannya pada Disember 1979 - Bertha dilaporkan berkahwin dengan Tom Ballermans – lelaki yang selalu datang ke restoran Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya Johan G Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
■ 1983 - Perkahwinan kali ini hanya bertahan kurang 4 tahun, Bertha bercerai dengan Tom Ballermans.
■ 15 September 1984 - Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin. Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
■Bertha menetap di Nevada, Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan.
■Sekitar tahun 1997, Natrah dibawa pulang ke Kemaman bertemu keluarga angkat. Beliau dikatakan masih fasih berbahasa Melayu pelat Indonesia dan amat sukakan masakan tempatan terutamanya ketupat daun palas. Semasa di bawa ke Malaysia, beliau di temani Ben Pichel dan 2 wartawan Belanda. Selanjutnya beliau sekali lagi di bawa masuk ke Malaysia pada tahun 1999, bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui kedatangan beliau kali ini atas permintaan Natrah sendiri. Kedatangan pada tahun 1999 adalah memenuhi jemputan pihak tertentu yang sedang melengkapkan Biografi Natrah yang di usahakan gigih oleh Datin Fatini.

■ 9 Julai 2009 - 10 tahun selepas kedatangan akhir beliau ke Malaysia, Bertha atau Natrah, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun.
Selepas kematian beliau, lebih banyak persoalan berlegar, antaranya:-
1. Benarkah beliau mencintai Mansor?
2. Apakah agama sebenar beliau?
3. Mengapa beliau tidak memilih untuk memeluk Islam di akhir usia?
4. Mengapa beliau yang dikatakan cintakan Tanah Melayu tidak memilih Malaysia atau Singapura dlm meniti hari2 tuanya?
Dan banyak lagi persoalan yang bersarang difikiran segelintir masyarakat dunia yang mengikuti perkembangan Natrah.
Namun bagi saya mudah, selepas ditakdirkan berpisah dgn segala-gala yang disayanginya secara paksa termasuklah agama, mungkin bagi Natrah hidup tiada gunanya, hanya menunggu masa untuk beliau pergi memejamkan mata.
Mansor....oh ye, ramai generasi muda seolah2 skeptikal dgn hubungan cinta Mansor-Natrah, tp jgn dilupa pada tahun 40an dan awal 50an perkahwinan diusia muda, dan arranged marriage adalah perkara biasa. Malahan ianya juga sesuatu yang biasa di Eropah, dengan syarat mendapat restu org tua/penjaga. Saya yakin 100% cinta Natrah pd Mansor tidak pernah berbelah bagi. Hubungan dan/atau perkahwinan ke 2, ke 3 dan ke 4 Bertha kepada Johan, Tom dan Ben hanyalah hasrat Natrah untuk mengisi lompong hidup yang kosong setelah kehilangan Aminah dan Mansor. Kalau Natrah tidak cintakan Mansor sepenuh jiwanya, mana mungkin beliau tetap mengenangkan jejaka yg pertama menawan hatinya hinggalah ke akhir usia. Tidak mungkin juga beliau mengutus berita utk kembali kepada Mansor wp mengetahui Mansor telahpun berkeluarga pada penghujung tahun 50an lalu.
Ada juga yang berkata, kalau betul Natrah sukakan Malaysia, kenapa dia tak memilih untuk tinggal di sini. Well...of course it is easier said than done. Seorang wanita yang punyai 10 orang anak dan cucu cucu, mana mungkin semudah A.B.C. meninggalkan zuriat yang dikandungkan selama 9 bulan, dilahirkan dan dididik selama ini. Walau sehebat mana gelodak jiwa Natrah untuk kembali ke Malaysia, namun saya yakin naluri seorang ibu membataskan segala kemungkinan, sehingga beliau mengorbankan impian peribadi demi hidup bersama anak2 kandungnya. Apatah lagi memikirkan kehidupan beliau yang tentu kesunyian kerana Aminah dan Mansor telah lebih awal meninggalkan dia buat selama-lamanya.
Agama....sudah tentu matinya Natrah akan dlm Islam sekiranya prosiding mahkhamah berpihak kepada Aminah 59 tahun lalu. Namun takdir Allah tidak dapat di duga tidak juga bisa diubah, Natrah redha menerima takdir yang dibebankan kepada beliau namun gagal mempertahankan keIslaman beliau di usia yang muda tanpa asuhan dan pimpinan agama oleh sesiapa jua di Belanda. Mungkin ada yang bertanya, mana perginya institusi Islam di Belanda pada ketika itu, tp kita perlu ingat, jika di bumi Malaya, kejayaan telah berpihak kepada ibu bapa Natrah, amat sukar dibayangkan di bumi Belanda ketika itu akidah Natrah dapat ditegakkan semula, lebih2 lagi dengan pengawasan 24 jam selama 5 tahun sejak ketibaan Natrah di Amsterdam pada 15 Disember 1950 sehinggalah saat perkahwinannya dengan Johan. Seorang dlm usia semuda 13 tahun dijadikan rebutan antara dua budaya dua agama, yang memporakperandakan kehidupannya......akhirnya seolah2 fobia utk memutuskan agama untuk dirinya. Fobia kerana pegangan agama yang dicintainya dulu (Islam) mengakibatkan rusuhan kaum, menghancurkan hati2 org yg disayangi malahan hatinya sendiri, menyulitkan hubungan antara dua negara, menggadaikan nyawa dan masa depan anak2 bangsa yang menyebelahi agama yang dianutinya. Fobia tersebut menyebabkan beliau dikatakan memilih untuk menjadi aties.
Namun agak pelik juga dalam suatu wawancara 1 minit yang dibuat oleh Mansoon Pictures kurang 2 bulan sebelum kematian beliau, beliau ada menyebut "I hope you show respect to everybody, to religion (disebut tanpa S) and to God, God bless you and thank you". Sekiranya beliau ateis tidak mungkin beliau menyampaikan kata2 sedemikian. Malahan ada yang mengatakan Natrah bersedia memeluk Islam, jika Ben (lelaki terakhir bersama beliau) juga beragama Islam.
Walau apapun persoalan yang cuba dirungkai, tentu tiada yang dapat menjangkakan dengan tepat gelora rasa di hati Natrah. 1 yang pasti Allah lebih mengerti segalanya. Dipinjamkan Natrah kpd kita utk kita menilai dan melengkapi kepicangan pada masyarakat hari ini. Atas dasar cinta, tidak salah Adeline/Petrius menuntut kembali anak kandungnya - Natrah setelah ekonomi keluarga kembali selesa. Atas landasan yang sama juga Aminah bermati-matian berusaha mendapatkan hak penjagaan Natrah yang dibesarkan dengan limpahan kasih mesra. Atas rasa cinta membara membawa Mansor menggadaikan hampir segalanya demi membangunkan istana cinta yang baru dibina. Juga kerana cinta Natrah mempertaruhkan jiwa raganya untuk bersama Aminah dan suami tercinta. Jauh lebih penting atas dasar cinta kepada agama, bangsa dan negara telah membawa Aminah, Mansor, Karim Ghani, Dr Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Darus Sheriff, Mohammed Murtazza, Syed Ali al-Attas, MA Majid, Prof Dr Ahmad Ibrahim dan Tun Sardon Jubir serta ribuan umat Islam di Malaya, berjuang demi menegakkan akidah seorang gadis berusia 13 tahun 59 tahun yang lalu.
Takdir tidak mungkin dapat diubah, moga kekalutan 59 tahun lalu menjadi iktibar buat semua. Kekusutan hidup Natrah selama 59 tahun slps pulang ke Belanda patut dijadikan pengajaran buat semua terutamanya buat mereka yang mengagung2kan undang2 sivil berbanding syariah. Jelas Allah lebih mengetahui....wp 13 tahun umur yg di anggap terlalu muda, namun kita amati jika mahkhamah berpihak kepada kehendak gadis berusia 13 tahun ketika itu, mungkin seribu kebahagiaan menjadi milik bersama semua, bukan hanya Aminah, Mansor dan Natrah mungkin juga Adeline/Petrus dan juga Justice Brown yang turut mengimpikan kebahagiaan Natrah. Mengikut rekod tiada siapa yg pernah menemurah Adeline/Petrus juga Justice Brown untuk menilai kewibawaan keputusan mahkhamah 59 tahun lalu. Bagi saya, Tragedi Natrah bukan berakhir pada detik 15 Disember 1950 tetapi ia melangkaui benua dunia timur dan barat, melewati jarak waktu 59 tahun, sehinggalah terhentinya nafas akhir Natrah pada Julai 2009 yang baru lalu.
Selasa 15 Disember 2009, jam di PC menunjukkan tepat jam 6.35 minit petang waktu Eropah....masuk waktu Isya'....dalam kedinginan malam yang mencecah minus 3 darjah Celcius, aku berilusi sendiri -- 59 tahun lalu, pada hari pertama ketibaan Natrah di Belanda, tentunya Natrah dalam seribu kebingungan mencari arah kiblat dalam sejuta kesedihan mengharap ehsan ibubapa kandungnya utk bersolat Isya' serta tak putus putus berdoa agar diberikan segala yang terbaik buat semua yang dicintainya yang ditinggalkan di Malaya. Terbit difikiran ku, patutkah aku doakan segala kesejahteraan buat Natrah yang kini tiada lagi di sisi kita, terbit juga kekesalan kerana tidak pernah mendoakan beliau sejak dulu2 lagi.......bersalahkah aku Ya Allah?
"Ya Allah, andai ada walau sekelumit cinta Natrah pada Mu di hujung usianya, Kau terimalah Natrah seadanya...."